Masa aktif

September 16, 2006

Ada pelajar yang suka belajar di waktu pagi, ada yang suka belajar di waktu malam dan ada pelajar yang suka belajar di waktu petang. Walau apa pun pilihan anda, pastikan masa itu adalah masa yang paling sesuai untuk minda anda mempelajari sesuatu.

Selalunya pelajar suka mendengar nasihat yang terlalu umum seperti masa yang terbaik untuk belajar adalah pada waktu awal pagi atau lewat malam. Sebenarnya, ini semua bergantung kepada masa aktif anda.

Apa yang saya maksudkan dengan masa aktif ialah satu masa di mana anda merasa mudah untuk belajar sesuatu. Masa aktif saya adalah selepas bangun tidur, tidak kira tidur waktu malam atau siang. Jika semasa saya belajar dan mula rasa tidak dapat menyerap apa yang saya pelajari, saya akan berhenti untuk tidur sebentar. Apabila saya bangun, minda saya akan segar semula dan saya akan dapat belajar dengan lebih aktif. Ini adalah cara saya menggunakan masa aktif saya, bagaimana pula dengan anda?


Tabiat buruk yang harus dielakkan

Ogos 19, 2006

Semasa anda belajar, ada beberapa tabiat buruk yang perlu anda elakkan. Mari kita kongsi bersama satu daripada tabiat buruk ini.

Tabiat buruk yang perlu kita elakkan ialah menyebut perkataan ‘ susah’, ‘pening’ dan ‘tak boleh’. Berdasarkan pengelaman saya, ini adalah perkataan yang sangat digemari oleh pelajar. Baru sahaja cikgu perkenalkan topik baru, mereka dah kata “susah la topik ni cikgu”. Baru sahaja cikgu terangkan tentang topik baru itu, mereka dah kata ” pening la kepala saya cikgu”. Baru sahaja cikgu suruh buat latihan, mereka dah kata “tak boleh buat la cikgu”.

Ini adalah satu tabiat yang sangat buruk. Kita perlu sedar satu perkara. Ada satu bahagian di dalam otak kita yang bergerak balas terhadap arahan kita. Ia akan memastikan  reaksi tubuh badan kita selari dengan apa yang kita arahkan. Contohnya, bila anda kata susah, bahagian otak ini akan bergerak balas dengan membuat tubuh badan anda kelihatan seperti orang susah. Anda akan duduk macam orang susah dan muka anda juga kelihatan susah. Akibatnya, anda benar-benar merasa susah dan tidak mungkin dapat mempelajari topik baru itu.

Jadi, buat permulaan, hindari daripada menyebut perkataan negatif di atas. Walaupun anda merasa susah semasa mempelajari sesuatu topik baru, bersabar dan teruskan usaha. Tarik nafas dalam-dalam dan wujudkan keyakinan dalam diri bahawa anda boleh memahami topik baru itu.

Selamat mencuba.

osman affan


Teknik Belajar Matematik

Ogos 16, 2006

Ada beberapa perkara yang belajar daripada Budiyamin tentang matematik. Satu, kalau nak pandai matematik, kita kena suka matapelajaran tu. Habis, kalau kita dah memang tak suka macam mana? Caranya, mula-mula buat-buat macam kita sukakan matapelajaran tu. Kita macam berlakon sikit yang kita suka subjek tu. Kemudian, mula buat latihan sedikit demi sedikit. Tak perlu terus mula dengan 100 soalan. Bukan apa, takut terkejut nanti lepas tu terus makin benci.  :)

Kedua, matematik adalah latihan dan latihan adalah matematik. Maksud saya, matematik adalah satu subjek yang anda perlu buat latihan untuk menguasainya, bukan membaca. (Ada pelajar yang belajar matematik dengan hanya membacanya). Saya berjaya menguasai matematik kerana saya ikut Budiyamin buat latihan. Semakin banyak latihan saya buat, saya jadi semakin cekap. Malah, ramai kawan sekelas akan tanya saya dan Budiyamin tentang cara menjawab soalan matematik.

Ketiga, matematik adalah matapelajaran yang memerlukan disiplin. Walaupun anda faham topik tertentu, anda tidak akan dapat menjawab dalam masa yang diberikan jika anda tidak mendisiplinkan diri untuk menjawab soalan matematik. Setiap kali anda berlatih menjawab soalan matematik, catat masa yang anda ambil. Selalunya anda ada masa kurang daripada 3 minit untuk menjawab satu soalan. Jadi, cuba kejar masa itu, :) maksud saya, cuba latih menjawab dengan secepat mungkin.

Keempat, anda perlu HAFAL SIFIR! Saya tahu ramai pelajar yang merungut tentang perkara ini. Ada pelajar tingkatan lima yang saya uji dengan sifir 7 pun tidak lepas. Alasan mereka, mereka boleh guna mesin kira, mengapa perlu ingat sifir?

Persoalannya ialah, hafal sifir bukan sahaja untuk mengetahui berapa 5 x 5 dan berapa 12 x 7. Tetapi, menghafal sifir akan membuat otak anda lebih cepat dan cekap mengira. Kalau asyik bergantung kepada mesin kira, daya pemikiran anda akan semakin lemah kerana tidak ada usaha yang dilakukan oleh otak anda. Lihat mereka yang handal matematik, pasti mereka cekap juga dalam sifir.

Akhir sekali, anda perlu ada azam dan kemahuan untuk jadi hebat dalam subjek matematik. Jika anda kisah tidak kisah, sukar untuk anda kuasai subjek ini. Insyaallah saya akan kongsikan lagi di masa akan datang petua-petua untuk menguasai matapelajaran matematik ini.

osman affan

Osman Affan


Perhati dan belajar

Ogos 13, 2006

Selalunya, pelajar yang susah untuk memahami apa yang diajar oleh guru mereka ialah pelajar yang tidak boleh benar-benar menumpukan perhatian mereka terhadap apa yang sedang guru mereka ajarkan. Contohnya, ketika guru mengajar, pelajar sibuk mencari buku, mencari pen, mengasah pensel, makan atau minum dan bermacam-macam hal lagi.

Apabila habis guru menerangkan tentang sesuatu, mulalah pelajar ini merungut yang subjek itu sukar difahami. Ingat, yang sukar bukanlah subjek itu, tapi kebolehan anda untuk lupakan gangguan disekeliling dan tumpukan sepenuh perhatian kepada apa yang diajarkan.

JIka saya sedang mengajar, selalunya saya akan suruh pelajar saya bersedia. Ini bermaksud, berhenti mencari barang atau buat sesuatu, dan mula tumpukan kepada apa yang saya terangkan. Saya akui, agak sukar melakukan perkara ini terutama di dalam kelas yang besar. Tetapi, ia tidak mustahil.

Tumpukan perhatian sehingga anda seolah-olah tidak sedar perkara-perkara lain berlaku disekeliling anda. Ia umpama kucing yang sedang mengejar tikus, seratus peratus fokus kepada apa yang dikejarnya.

Latih diri anda untuk fokus seperti ini. Ia benar-benar memerlukan latihan. Mulanya anda akan rasa agak janggal dan sukar sedikit. Tetapi apabila anda sudah menguasai teknik ini, anda akan lebih mudah untuk mempelajari dan memahami sesuatu.

osman affan

Osman Affan


Uruskan masa

Ogos 2, 2006

Masalah yang biasa saya dengar tentang pengurusan masa ialah “tidak cukup masa” dan terlalu banyak kerja yang hendak dilakukan.

Benar, ada masanya, terlalu banyak kerja yang perlu kita lakukan dan masa yang kita ada seolah-olah tidak mencukupi. Namun, ada sesuatu yang boleh kita lakukan.

Kali ini saya akan terangkan bagaimana cara hendak melakukan sesuatu dalam masa yang singkat. Mudah sahaja, fikirkan apa yang anda hendak capai dalam masa yang tertentu. Contohnya, katakan anda mahu buat nota sejarah. Bila anda duduk menghadap buku anda, fikir dan tetapkan, berapa muka surat anda akan baca, berapa banyak nota akan anda tulis dan berapa masa yang akan anda ambil.

Mungkin anda kata, “aku akan baca semua bab 3 dalam masa 20 minit. Kemudian buat nota 20 minit dan rehat 10 minit. Kemudian, sambung semula buat nota selama 30 minit dan nota ni akan siap dengan lengkap. keseluruhannya, aku cuma akan guna 1 jam 20 minit sahaja untuk habiskan bab 3 ni”

Bila anda sudah tetapkan masa untuk lakukan sesuatu dan berusaha untuk mencapainya, anda akan lebih fokus kepada kerja anda. Apabila anda lebih fokus, anda akan lebih mudah faham dan kerja anda akan lebih cepat siap.

Selamat mencuba. :)

osman affan

Osman Affan


Asas dalam mempelajari sesuatu

Julai 28, 2006

Seperti yang saya ceritakan, kebolehan saya bermian snooker cepat meningkat kerana saya belajar langkah asas dalam bermain snooker.

Pengajarannya di sini ialah, jika kita hendak menguasai sesuatu kemahiran dengan cepat dan pantas, kita perlu cari apakah asas dalam menguasai kemahiran itu. Contohnya jika anda hendak belajar menghafal, ada langkah asas dalam menghafal sesuatu. Jika anda hendak belajar bahasa baru, ada langkah asas dalam mempelajari bahasa baru.

Dari mana boleh anda perolehi langkah asas itu semua? Pertama, melalui buku. Banyak buku yang menerangkan langkah-langkah asas kepada mana-mana kemahiran. Sekarang buku sangat senang diperolehi. Jika anda hendak belajar menjadi seorang yang disukai oleh kawan-kawan, ada buku yang mengajar langkah-langkah asasnya.

Kedua, cari seseorang yang mempunyai kemahiran yang anda inginkan. Tanya mereka, bagaimana mereka boleh kemahiran itu dengan baik. Untuk lebih efektif, perhatikan cara mereka menggunakan kemahiran itu. Contohnya, jika anda mahu belajar kemahiran menunggang basikal, perhatikan bagaimana seseorang yang handal itu memegang basikalnya, bagaimana ekspresi mukanya bilka menunggang basikal, bagaimana dia berlatih dan sebagainya.

Akhirnya, kita perlu ingat satu perkara. mempelajari asas kadangkala memakan masa dan mungkin membosankan. Tetapi, bila anda sudah menguasai langkah asas itu semua, anda akan lebih cepat menjadi handal dan hebat dalam kemahiran itu.

Selamat mencuba.  :)

osman affan

Osman Affan


Asas dalam mempelajari sesuatu

Julai 27, 2006

Pada tahun 1996, setahun sebelum saya melanjutkan pelajaran ke luar negara, saya belajar main snooker daripada 2 sahabat baik saya. Kedua-dua sahabat baik saya ini sudah handal bermain snooker. Jadi, apabila saya mahu menyertai mereka bermain snooker, mereka mendapat idea menarik, “siapa yang lebih hebat antara mereka berdua”. Sahabat pertama bernama Irfan. Dia berkata kepada sahabat kedua, Zul, “kita tengok, siapa boleh kalahkan Man dengan mata paling banyak, dia lagi hebat!”. Zul setuju.

Saya pun bermain dengan Irfan dan Zul. Yang pasti, saya akan kalah. Tetapi, Irfan mengalahkan saya dengan lebih banyak mata berbanding Zul. Maka, terbuktilah Irfan lebih hebat daripada Zul.

Seminggu selepas itu, saya bermain lagi dengan mereka berdua. Amat mengejutkan, Irfan dan Zul kalah dengan saya. Zul terkejut, dan Irfan terfikir apakah sebabnya saya boleh menang. Inilah yang ingin saya ceritakan sebenarnya, bagaimana cara saya menang.

Caranya…. sehari selepas kalah dengan Irfan dan Zul, saya keluar berjalan di banda Kuala Lumpur. Entah bagaimana, saya terjumpa satu video tape tentang cara belajar main snooker. Saya pun beli tape tu dan pasang hari-hari untuk mempelajari.

Rupa-rupanya, ada 5 langkah asas main snooker. Yang peliknya, saya tak nampak sesiapa pun yang main snooker (dikalangan kawan-kawan saya) yang mengamalkan langkah-langkah asas tu. Bila saya buat 5 langkah asas tu, saya cepat pandai dan jadi antara pemain snooker terhebat dikalangan kawan-kawan saya. Malah, setelah saya habis belajar dan bekerja di PriceWaterHousecoopers Chartered Accountant, saya menjadi Johan Snooker dalam pertandingan yang dianjurkan. Saya berjaya mengalahkan ramai pemain berpengalaman di syarikat saya itu dan kemudian saya dipilih mewakili syarikat saya ke pertandingan antara syarikat-syarikat perakaunan.

Apakah yang dapat dipelajari disini? Saya akan terangkan dalam terbitan seterusnya……

osman affan

Osman Affan


Teknik asas menghafal

Julai 24, 2006

Apabila ditanya tentang cara menghafal, pelajar akan terbayangkan nota-nota yang dipenuhi tulisan yang perlu dihafal. Memang susah hendak menghafal, terutamanya jika tulisan-tulisan itu semua sukar untuk dibaca. Ini membuatkan pelajar rasa tidak bersemangat untuk menghafal.

Adakah memang sukar untuk menghafal? Mungkin…. mungkin sukar jika anda tidak tahu caranya yang betul.

Untuk menghafal, anda perlu tahu satu perkara asas. Apakah bahasa memori kita? Bahasa Melayu? Bahasa Inggeris? Bahasa Cina? Atau bahasa India? Untuk mengetahuinya, jawab soalan ini.

Jika saya sebut perkataan kucing, apakah yang terbayang difikiran anda? Adakah perkataan K.U.C.I.N.G. ? atau gambar seekor kucing? Tentu gambar seekor kucing bukan?

Maksudnya, bahasa otak kita adalah ‘gambar’. Disebabkan itu, kita lebih mudah mengingat gambar dari perkara lain seperti tulisan. Jadi, jika anda merasa sukar untuk menghafal, jangan risau. Bukan anda memiliki daya pemikiran yang lemah, tetapi, anda mungkin selama ini cuba menghafal tulisan, bukan gambar.

Apa yang perlu anda fikirkan sekarang ialah, bagaimana caranya untuk anda menukarkan semua nota anda dalam bentuk gambar…

osman affan

Osman Affan


Follow

Get every new post delivered to your Inbox.