http://www.osmanaffan.com/petua

Oktober 2, 2006

Mulai 3 Oktober 2006, semua posting untuk teknik kemahiran belajar SmartStudy akan di buat di http://www.osmanaffan.com/petua

Jadi, saya berbesar hati menjemput anda semua ke sana. Di sana, saya juga mengalu-alukan tips dan petua kemahiran belajar yang boleh anda sumbangkan supaya dapat dikongsikan bersama.

Http://www.osmanaffan.com/petua

osman affan


Selamat Menduduki Peperiksaan PMR!

Oktober 2, 2006

Saya mengambil peluang ini untuk mengucapkan selamat menduduki peperiksaan PMR untuk pelajar tingkatan 3 di seluruh Malaysia terutamanya bekas anak murid didikan saya di terengganu dan juga anak murid didikan saya di SmartStudy.

Saya doakan agar anda semua akan dimudahkan untuk menjawab soalan-soalan yang diberikan dan dikurniakan ketenangan hati dan fikiran semasa menjawab di dalam dewan peperiksaan.

SELAMAT BERJAYA!!!

osman affan


Mutiara Kata

Oktober 1, 2006

Memburu kejayaan tidak seperti menjamu selera di kedai makan; makan dahulu bayar kemudian. Memburu kejayaan umpama menanam pokok buah-buahan. Tanam, jaga dan nikmati hasilnya kemudian. ~Osman Affan

Jika diberi peluang, semua pelajar mahu menjadi cemerlang. Jika diberi peluang, semua pelajar mahu berjaya dalam hidup. Namun, anda perlu ingat bahawa, jika anda tidak faham konsep di atas, anda akan jadi tidak sabar untuk mengecap sesuatu yang menyeronokkan. Benar, kejayaan adalah menyeronokkan, tetapi bolehkah anda bersabar dan berusaha untuk mengecapinya?

Pelajar yang gagal biasanya tidak sabar untuk mengecapi sesuatu yang menyeronokkan. Lambat sangat nak tunggu seronok dapat keputusan cemerlang, penat pulak tu kena belajar. Jadi, macam mana nak seronok cepat? –> Melepak…seronok cepat….. ponteng sekolah…seronok cepat……. ikut kawan hisap rokok…seronok cepat…… main-main dalam kelas…seronok cepat…..

Malangnya, apa yang cepat menyeronokkan ini selalunya akan menjadi sesuatu yang sangat-sangat menyakitkan dalam jangka masa panjang…..

osman affan


Al-Quran di Bulan Ramadhan

September 30, 2006

Mengenai pembersihan rohani, di dalam bulan Ramadhan terutamanya, kita digalakkan membaca Al-Quran hingga jika boleh, khatam satu Al-Quran. Malah saya tahu banyak pelajar yang boleh mengkhatamkan Al-Quran hingga 2 kali dalam bulan Ramadhan. Alhamdulillah.🙂

Di dalam program-program yang saya jalankan bersama pelajar atau orang dewasa, saya selalu tekankan penggunaan Al-Quran dalam membersihkan dan menenangkan hati kita. Untuk pelajar, selalunya, apabila menjelang peperiksaan, tahap tekanan perasaan mereka sangat tinggi hingga ada yang tidak boleh mengawal perasaan mereka lagi. Apa yang saya selalu kongsikan bersama pelajar ialah, ada satu keajaiban dalam membaca Al-Quran. Walaupun anda mungkin tidak faham apa yang anda baca, anda akan tetap dapat merasakan ketenangan melalui bacaan anda. Anda akan rasa tenang hingga pernafasan anda menjadi lebih mudah, kepala anda terasa lebih ringan dan jantung anda anda akan berdegup dengan perlahan dan tenang. Hebat bukan?

Ini anda boleh nikmati terutamanya jika anda boleh membaca Al-Quran dengan lancar. Sebab itulah amat penting untuk anda dapat membaca Al-Quran dengan lancar. Jika anda masih belum boleh membaca dengan lancar, bulan Ramadhan ini adalah masa yang sesuai untuk anda pelajari dan berlatih supaya dapat membaca dengan lancar. Bukan sahaja anda akan diberi ganjaran kerana mempelajari Al-Quran, malah ganjaran anda akan digandakan kerana ini adalah bulan yang mulia.

Selamat menjalankan ibadah puasa dan selamat Bertadarus Al-Quran.🙂

osman affan


Bila Ramadhan Menjelma

September 29, 2006

Menurut apa yang telah saya pelajari selama ini, bulan Ramadhan adalah masa untuk pembersihan. Pembersihan rohani dan jasmani. Hari ini saya sentuh tentang pembersihan jasmani. Saya percaya ramai yang tahu puasa ini adalah proses pembersihan jasmani, tetapi apa maksudnya? Adakah dengan berpuasa kita akan menjadi bersih? Mandi sahaja tidak cukup bersihkah?🙂

Sebenarnya, pembersihan jasmani itu bukan sahaja pembersihan luaran, tetapi bahagian dalaman tubuh badan kita. Untuk membuat kita mudah faham tentang perkara ini, cuba fikirkan fakta ini.

examSehari kita makan 3 hingga 6 kali dari kita bangun hingga kita tidur. Kadang-kadang ada yang makan lebih banyak daripada itu. Tetapi, secara purata, kita hanya buang air besar sekali sahaja. Ada yang lebih serius, buang air besar 2-3 hari sekali. Kemana perginya lebihan-lebihan makanan yang kita makan itu? Takkan ia semua diserap? Takkan ia lenyap begitu sahaja?

Menurut satu buku yang saya baca hasil tulisan Marilyn & Harvey Diamond, lebihan-lebihan itu semua akan melekat di dinding-dinding usus kita. Semakin banyak lebihan ini melekat di dinding usus, semakin kecil lorong laluan di usus. Semakin kecil pula lorong ini, anda akan menghadapi kesukaran untuk membuang air besar dan sistem percernaan anda akan menjadi tidak teratur. Lebih menakutkan lagi, lebihan yang melekat itu adalah beracun.

Hebatnya puasa untuk umat islam ini, ia dapat merehatkan usus-usus kita supaya ia dapat bekerja lebih untuk membuang sisa-sisa yang terlekat di dindingnya sepanjang tahun tadi. Satu perkara yang biasa nampak jelas bila ini berlaku ialah, anda selalunya rasa letih di minggu pertama puasa dan kadang-kadang ada yang pening-pening dan sakit kepala. Ini adalah antara tanda-tanda sisa toksin itu dikeluarkan. Secara ringkasnya puasa membantu organ dalaman tubuh badan kita berehat dan mengembalikan kesegaran dan kesihatan tubuh badan kita secara menyeluruh. Alangkah hebatnya!🙂

Tetapi anda perlu ingat. Kesan baik ini tidak akan terjadi jika anda makan waktu berbuka seperti tidak akan ada lagi waktu berbuka selepas ini. Maksudnya, anda makan pada waktu berbuka seperti anda makan makanan untuk satu hari sekali gus. Ini akan membuat perut dan usus anda terkejut! (kesian dia…)

Jadi, apa yang kita boleh pelajari hari ini ialah, puasa benar-benar merupakan satu peluang dan satu rahmat untuk kita. Peluang untuk apa? Untuk membersihkan diri kita luaran dan juga dalaman. Saya semasa zaman budak-budak dulu sukar untuk memahami kebaikan berpuasa ini, jadi, saya seolah-olah merungut  kerana membayangkan kesusahan yang akan saya tempuh apabila Ramadhan Menjelma. Kini, setelah saya pelajari serba sedikit tentang kebaikan puasa ini, saya rasa bersyukur dan bertuah kerana ibadah puasa adlah salah satu bukti bahawa Agama kita Islam adalah satu agama yang lengkap……

Selamat Berpuasa.

osman affan


Bila Ramadhan Menjelma

September 28, 2006

Hari Ahad lalu, 24 hb September, hari pertama puasa, saya, isteri dan anak lelaki saya bersiar-siar di IKEA Damansara. Dah lama rasanya tak dapat bersiar-siar macam tu disebabkan program saya yang padat 2-3 minggu kebelakangan ini. Semasa dalam perjalanan ke sana, saya terpandang satu papan iklan McDonald. Ia menunjukkan gambar sebiji burger yang sangat besar dan sangat menyelerakan. Saya ulangi, SANGAT MENYELERAKAN! 🙂

Di sinilah timbulnya idea untuk saya menulis tentang petua semalam. Saya terfikir, kenapa selama ini saya langsung tidak tertarik kepada iklan itu? Perkara ini ada kaitannya dengan keinginan untuk berjaya dalam bidang pelajaran. Dalam konteks pembelajaran, anda perlu fikir, adakah anda idamkan kejayaan dalam bidang pendidikan sama seperti anda idamkan makanan-makanan yang menyelerakan semasa anda sedang lapar?  Jika anda sedang lapar dan minda anda asyik teringatkan sejenis makanan, katakan makanan itu burger, anda akan cuba dapatkan burger itu dengan bersungguh-sungguh bukan? Begitu juga dengan kejayaan dalam bidang pendidikan. Pelajar yang cemerlang sentiasa mengidamkan dan terliur untuk mengecap kejayaan yang cemerlang. Mereka sentiasa terfikir bagaimana rasanya nanti bila sudah berjaya. Apabila mereka sentiasa teringat tentang kejayaan, semangat mereka akan sentiasa tinggi dan mereka akan berusaha dengan bersungguh-sungguh untuk berjaya. Apa yang perlu anda lakukan sekarang? Mula idamkan kejayaan cemerlang sekarang!


Bila Ramadhan Menjelma

September 27, 2006

Pernahkah anda terfikir, mengapa, di bulan ramadhan, semua makanan yang selama ini nampak tidak menarik, tidak sedap, membosankan dan tidak menyelerakan kelihatan sebaliknya? Maksud saya, di bulan ramadhan, air mineral dan roti kosong pun nampak sangat menyelerakan. Bahkan, goreng pisang dan keropok goreng yang dijual di tepi jalan yang selama ini kita tak pandang pun kelihatan sangat menyelerakan. (yang kelakarnya, kadang-kadang sayur pun kelihatan amat menyelerakan :)  )

puasa

Saya percaya anda pasti jawab sebabnya ialah dalam bulan ramadhan kita sedang lapar. Sebab itulah semua makanan nampak menyelerakan. Betul!! Saya setuju dengan anda. Tetapi apa yang boleh kita pelajari daripada perkara ini?

puasa

Banyak perkara yang boleh anda pelajari sebenarnya. Satu perkara yang boleh anda pelajari sekarang ialah anda perlu menggunakan segala peluang yang ada sebelum anda terlepas akan peluang itu. Manusia selalunya menghargai sesuatu apabila mereka telah kehilangan sesuatu itu. Dalam tajuk ini, saya minta anda hargai peluang yang anda ada sebagai seorang pelajar.

Sekarang anda masih ada peluang untuk belajar bersungguh-sungguh dan meningkatkan kecemerlangan anda. Selepas peluang ini hilang dan sekiranya anda gagal mencapai apa yang anda inginkan dalam pelajaran, anda akan melihat kepada peluang-peluang itu seperti anda melihat makanan di waktu siang, terliur, tetapi anda tidak boleh dapatkannya.

osman affan