Kisah Anak Burung Dalam Genggaman

Di sebuah lereng bukit, terletak sebuah perkampungan yang dinamakan Kampung Permai Sentosa. Penduduk kampung ini sentiasa hidup dalam keadaan aman dan damai.

Di hujung kampung tersebut, di kawasan tanah tinggi, tinggal seorang lelaki tua yang bernama Pak Arif. Pak Arif tinggal berseorangan di rumah yang besar dan indah itu sejak kematian isterinya 7 tahun yang lalu.

Pak Arif sangat terkenal dengan kebaikan dan kebijaksanaannya. Beliau dikatakan mempunyai pengetahuan yang amat luas mengenai apa sahaja. Beliau mahir bertutur dalam 9 bahasa, pernah menjelajah hampir keseluruh dunia dan dan sangat disegani oleh sesiapa sahaja yang mengenalinya.

Satu perkara yang membuat Pak Arif dikagumi oleh semua orang ialah, beliau tidak pernah salah dalam menjawab apa-apa jenis soalan. Beliau tahu menjawab semua soalan berkenaan falsafah, sains, matematik, politik mahupun mengenai perkara-perkara yang tidak terdaya difikirkan oleh akal.

Ramai penduduk kampung yang telah mencuba untuk menyoal Pak Arif dengan soalan yang paling susah. Namun, Pak Arif tetap dapat menjawab soalan tersebut dengan mudah dan betul.

Pada suatu hari, kelihatan seorang remaja sedang berlari-lari ke arah kawasan kebun kelapa. Remaja itu ialah Rahman. Rahman berusia 16 tahun, anak yatim piatu dan tinggal bersama neneknya berhampiran dengan sungai kampung Permai Sentosa.

Rahman adalah seorang yang pemarah dan bengis. Dia bosan dengan kehidupannya yang agak susah. Dia sentiasa membandingkan betapa bertuahnya orang-orang yang dilahirkan mewah dan dikelilingi sanak saudara yang ramai.

Dia sering menyalahkan takdir di atas kesusahannya. Persoalan yang sering ditanyakan kepada dirinya sendiri ialah, “mengapakah dunia ini tidak adil? Mengapa orang tidak mahu membantu aku untuk hidup senang? Kenapa anak-anak orang yang kaya sahaja yang boleh berjaya?”

Rahman berlari dengan agak laju. Dia kelihatan seolah-olah tidak sabar untuk menceritakan sesuatu yang sangat menarik kepada kawan-kawannya.

“Kawan-kawan… aku ada berita baik ni…” kata Rahman termengah-mengah. “Apa dia?” balas Haikal yang tidak sabar ingin tahu. 5 kawan Rahman yang lain turut sama mengelilingi Rahman, bersungguh-sungguh mahu mendengar cerita Rahman.

“Aku dah ada cara nak bagi Pak Arif salah dalam menjawab soalan,” kata Rahman sambil tersenyum. Dia masih lagi cuba menghilangkan rasa penatnya kerana berlari terlalu laju tadi.

Kawan-kawan Rahman semuanya terdiam. Haikal ternganga. Rahim dan Kasim terkebil-kebil memandang ke arah Rahman. Sabri, Zamri dan Farid tersengih-sengih seolah tidak mempercayai apa yang telah diucapkan oleh Rahman itu.

“Apa kau nak buat?” soal Zamri.

“ Kau semua tengok sini,” kata Rahman sambil membuka sedikit genggaman tangan kanannya. Kelihatan seekor anak burung pipit di genggaman Rahman. Anak burung itu sudah cukup dewasa untuk terbang, namun ia tidak mampu berbuat apa-apa di genggaman Rahman.

“Kau nak buat apa dengan anak burung tu?” tanya Farid kehairanan.

“Dengar sini. Kita akan bawa burung ni berjumpa dengan Pak Arif. Aku akan simpan burung ni dalam genggaman aku supaya Pak Arif tak boleh tengok apa yang aku genggam. Lepas tu aku akan tanya Pak Arif, adakah burung di dalam tangan aku ni masih hidup atau sudah mati,” jelas Rahman dengan penuh semangat.

“Kalau Pak Arif kata burung ni dah mati, aku akan akan lepaskan burung ni dan biarkan ia terbang. Pak Arif akan salah. Kalau dia kata burung ni masih hidup, aku akan genggam burung ni kuat-kuat sampai hancur tulangnya dan mati. Pak Arif akan salah juga,” jelas Rahman lagi.

“Jadi, apa-apa jawapan Pak Arif pun, dia akan tetap salah?” soal Sabri yang masih tidak pasti akan tujuan sebenar Rahman.

“Tepat sekali. Hari ni, kita akan buktikan yang Pak Arif tu tidaklah sehebat yang kita sangkakan,” kata Rahman sambil ketawa. Kelihatan wajah Rahman seolah dipenuhi perasaan dengki dan dendam terhadap Pak Arif yang kaya dan ternama itu.

“Mari kita pergi,” kata Rahman lagi. Mereka semua pun berlari dengan pantas ke arah hujung kampung. Terbayang kegembiraan di hati masing-masing kerana mereka akan menempa sejarah di kampung Permai Sentosa itu.

Di rumah Pak Arif, pintu rumahnya sudah terbuka. Dari jauh lagi Pak Arif sudah ternampak Rahman dan kawan-kawannya berlari menuju ke arah rumahnya. Pak Arif hanya tersenyum. Beliau tahu yang beliau akan diuji sebentar lagi.

Rahman dan kawan-kawannya sampai di halaman rumah Pak Arif. Pak Arif berdiri tenang di hadapan pintu rumahnya sambil tersenyum. Rahman tidak mahu melengah-lengahkan masa lagi lalu bersedia untuk bertanya kepada Pak Arif.

“Pak Arif!” jerit Rahman sambil tersenyum bangga. “Saya ada satu soalan untuk Pak Arif,” kata Rahman lagi.

“Silakan Rahman,” jawab Pak Arif tenang.

“Di dalam genggaman saya, ada seekor anak burung. Kalau Pak Arif benar-benar handal, beritahu kami, adakah burung ini masih hidup ataupun sudah mati,” soal Rahman. Dia kelihatan tersenyum puas kerana dia tahu Pak Arif pasti akan malu besar hari ini.

Pak Arif hanya diam. Dia merenung ke arah Rahman dan kawan-kawannya. Dia kelihatan seolah sedang berfikir. Namun, Pak Arif tetap kelihatan tenang.

Seketika selepas itu, Pak Arif tersenyum. Rahman dan kawan-kawannya semakin berdebar menanti jawapan Pak Arif. Benarkah hari ini adalah hari yang akan memalukan Pak Arif? Apakah Rahman akan menjadi orang pertama yang membuktikan bahawa Pak Arif sebenarnya hanya indah khabar dari rupa?

Pak Arif maju ke depan beberapa langkah. Kemudian Pak Arif pun berkata, “ Rahman, hidup atau mati burung itu adalah terletak di tangan kau sendiri. Ia sama seperti hidup kau. Berjaya atau tidak, terletak ditangan kau sendiri, bukan orang lain”

Rahman terdiam. Begitu juga dengan kawan-kawannya. Perlahan-lahan muka Rahman menjadi merah. Dia keliru, perlukah dia merasa marah? Perlukah dia akui kebijaksanaan Pak Arif?

Rahman mula faham apa yang dikatakan oleh Pak Arif. Benar kata Pak Arif, hidup atau mati burung itu terletak ditangannya sendiri. Rahman merasa malu namun dia terasa seolah dia telah mempelajari sesuatu daripada apa yang terjadi.

Dia faham maksud Pak Arif. Selama ini, Rahman sentiasa menyalahkan orang lain di atas kelemahan dan kesalahan dirinya sendiri. Sekarang dia faham bahawa, tidak ada sesiapa yang dapat menentukan kejayaanya melainkan dirinya sendiri.

Perlahan-lahan Rahman maju ke depan. Dia membuka genggamannya. Lalu anak burung Pipit itu pun terbang dengan bebas menuju ke arah hutan.

Mata Rahman hampir bergenang dengan air mata. Dia menghulurkan tangan untuk berjabat tangan dengan Pak Arif. Kawan-kawan Rahman masih kaku. Perlahan-lahan Rahman meninggalkan tempat tersebut. Kawan-kawan Rahman menyusul dibelakang tanpa sepatah kata.
osman affan

Osman Affan

One Response to Kisah Anak Burung Dalam Genggaman

  1. londra berkata:

    ξέρετε οποιεσδήποτε πληροφορίες για αυτό το θέμα σε άλλες γλώσσες;

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: