Kisah anak orang asli belajar memanah

Di dalam sebuah perkampungan orang asli yang terletak dengan berhampiran dengan Gunung Tahan, tinggal sepasang suami isteri bersama anak lelaki tunggal mereka. Kanak-kanak lelaki ini berumur 13 tahun dan dinamakan ‘Gadek’.

Gadek gemar mengikut bapanya pergi memburu. Namun, tidak selalu ayahnya membenarkan dia ikut sama pergi memburu.

“Gadek masih kecil, nanti dah dewasa, ayah bagi ikut kemana sahaja ayah pergi memburu,” kata ayah Gadek sambil tersenyum.

“Macam mana nak tahu Gadek dah dewasa ke belum ayah?” soal Gadek, seolah tidak sabar-sabar untuk menjadi dewasa.

Ayah Gadek terdiam. Dia termenung seketika. Dia cuba memikirkan satu jawapan yang bakal menguntungkannya dan anak lelaki kesayangannya itu. Dia menyoal dirinya sendiri, “apakah yang dapat aku ajarkan anak aku ini tentang kehidupan?

Apakah yang dapat aku tunjukkan kepada dia agar dia boleh menjadi seorang yang hebat dan berdikari di kemudian hari. Kemudian, dia mendapat ilham.

“Gadek…” ayah Gadek memulakan kata. “Gadek nampak tak pokok kelapa yang paling tinggi di hujung kampung kita ni?” tanya ayah Gadek.

“Nampak ayah… tapi kenapa?” balas Gadek.

“Di atas pokok kelapa itu, cuma ada sebiji buah kelapa yang sudah tua. Tapi ia tidak pernah jatuh ke tanah. Panahlah buah kelapa itu sampai jatuh, dan Gadek akan menjadi seorang dewasa,” jelas ayah Gadek.

“Itu saja? Lepas buah kelapa tu jatuh, Gadek boleh ikut ayah pergi ke mana saja?” tanya Gadek yang semakin tidak sabar untuk bergelar orang dewasa.

“Ya, betul. Gadek boleh ikut ayah pergi memburu kemana sahaja yang ayah pergi kalau buah kelapa tu dah jatuh,”balas ayah Gadek lagi lalu keluar menuju ke hutan untuk memburu.

“Ini sudah bagus. Kalau setakat panah buah kelapa, hari ni pun aku boleh jadi orang dewasa,” kata Gadek dengan penuh yakin. Lalu Gadek terus berlari kearah hujung kampung sambil menjinjing panahnya. Dia berlari sambil terbayangkan betapa seronoknya kalau dia dapat mengikut ayahnya memburu di kawasan pergunungan.

Di sana banyak terdapat binatang buruan seperti kancil, pelanduk, kijang dan rusa. Tidak sabar rasanya Gadek hendak merasa hasil tangkapan sendiri.

Akhirnya Gadek sampai ke hujung kampung. Dia berdiri betul-betul di bawah pokok kelapa yang dimaksudkan oleh ayahnya sebentar tadi. “Wah! Tinggi jugak pokok kelapa ni,” jerit Gadek sambil cuba memerhatikan buah kelapa tua dia atas pokok itu. Buah kelapa itu kelihatan begitu kecil, seolah-olah ia cuma sebesar ibu jari sahaja.

Gadek tidak mahu melengahkan masa lagi. Lalu dikeluarkan anak panah dari dalam bakul kecil yang di pikul di belakangnya. Gadek pun mula memanah. Satu demi satu anak panah meluncur laju menuju ke arah buah kelapa itu. Namun sayangnya, tidak satu pun yang mengena. Malahan, anak panah Gadek hanya sampai tidak lebih daripada separuh batang pokok kelapa itu sahaja.

Gadek cuba memanah dengan sekuat hati tetapi anak panahnya masih tidak dapat melepasi separuh ketinggian pokok kelapa itu. Gadek menjadi marah dan keletihan. Dia tidak berdaya lagi hendak menarik anak panahnya setelah hampir dua jam dia mencuba. Lalu dia pulang ke rumah dengan perasaan kecewa.

Keesokan harinya, Gadek pergi lagi untuk mencuba nasibnya. Tetapi hasilnya tetap sama. Hari berganti hari dan minggu berganti minggu. Kini sudah hampir tiga bulan Gadek cuba untuk memanah buah kelapa tersebut. Hasilnya masih mengecewakan.

Pada suatu hari, ayah Gadek pulang dari memburu. Hari sudah lewat malam. Apabila dia sampai ke rumah, dia terkejut kerana isterinya memberitahu bahawa Gadek belum pulang-pulang lagi. Ayah Gadek dengan tenang menyimpan alatan perburuannya. Dia tidak berkata apa-apa kerana dia tahu di mana Gadek berada.

Ayah gadek pun menuju ke arah hujung kampung, di mana pokok kelapa tua itu berada. Tepat sangkaannya, Gadek masih lagi berada di situ, cuba memanah buah kelapa tersebut.

“Hai Gadek, tak nak balik ke?” tegur ayah Gadek sambil tersenyum.

“Sikit lagi ayah, dah ada kemajuan ni” balas Gadek. Ayah hanya tersenyum sinis apabila melihat anah panah Gadek hanya sedikit sahaja melepasi separuh ketinggian pokok kelapa itu. Gadek masih terus memanah. Dia cuma memanah dengan dibantu sinaran cahaya bulan mengambang. Dia seolah tidak mempedulikan hari yang sudah lewat dan ayahnya yang sedang berdiri berhampiran dengannya.

“Kenapa susah sangat ni ayah? Dah berbulan-bulan Gadek cuba, masih lagi jauh dari sasaran yang Gadek nak capai?” tiba-tiba Gadek bersuara.

Ayah Gadek tersenyum. Dia memang sedang menanti soalan yang sebegitu. “Mari ke sini Gadek. Berhenti memanah sekejap,” jawab ayah Gadek.

“Gadek…” ayah Gadek bersuara lagi. “Kalau Gadek nak memanah buah kelapa tu, Gadek kena berlatih memanah bulan,” jelas ayah Gadek ringkas. “Mari kita pulang, emak Gadek kat rumah tu dah risau,” kata ayah Gadek lagi.

“Bulan? Bulan yang tengah mengambang tu? Kenapa?” soal Gadek kehairanan. Ayah Gadek hanya mengangguk sambil tersenyum. Dia tidak menjelaskan mengapa dia berkata demikian.

Pemikiran Gadek dipenuhi dengan seribu macam persoalan. “Apa yang ayah aku maksudkan? Bulan? Buah kelapa pun susah, inikan pulak bulan,” bisik hati Gadek. Namun dia tidak berani mempersoalkan apa yang dikatakan oleh ayahnya. Gadek tahu ayahnya sudah banyak pengalaman dan tahu apa yang dikatakannya.

Keesokan hari, Gadek pergi ke hujung kampung itu pada waktu malam. Dia masih cuba memikirkan apa yang tersirat di sebalik apa yang dikatakan oleh ayahnya malam tadi. Namun dia masih tidak ada jawapannya. Apa yang boleh dilakukannya ialah, cuba memanah bulan yang sedang mengambang itu.

Bulan itu kelihatan besar, tetapi terlalu jauh. Gadek berazam mahu juga memanah bulan tersebut. Gadek menarik anak panahnya perlahan-lahan sehingga ia tidak dapat ditarik lagi. Namun Gadek merasakan bahawa dia perlu menarik lagi anak panah itu sekuat mungkin supaya ia dapat pergi lebih jauh.

Ditariknya anak panah itu sekuat hati. Tidak semena-mena panah Gadek patah. Gadek terkejut. “eh, aku belum panah lagi pun dah patah. Rapuh sangat ke panah aku ni?” soal hati Gadek. Gadek tidak menyedari bahawa anak panahnya itu patah kerana terlalu kuat ia ditarik oleh Gadek, dan sebelum ini Gadek tidak pernah menarik panah sekuat itu.

Gadek pun pulang, mencari panah yang lebih besar dan lebih kuat. Dia pergi mencuba lagi pada malam keesokannya. Hari berganti hari dan bulan berganti bulan. Gadek masih tidak dapat memanah bulan itu. Semakin hari semakin kuat dia menarik anak panahnya. Sudah lebih 10 panahnya yang patah dan setiap kali patah Gadek akan menukarkan kepada panah yang lebih besar dan kuat.

Genap tiga bulan Gadek cuba memanah bulan. Masih terlalu jauh untuk dia mencapai bulan tersebut. Pencapaiannya yang paling baik pun cuma anak panahnya meluncur laju ke kaki gunung. Gadek sudah hampir berputus-asa. Dia kecewa kerana dia bimbang dia akan kekal sebagai kanak-kanak selama-lamanya.

Tanpa disedari ayah Gadek berada berhampiran tempat Gadek memanah. “Macam mana Gadek? Dah kena bulan tu?” soal ayah Gadek sambil tersenyum.

“Belum… macam tak boleh kena je,” balas Gadek dengan nada kecewa. Terpancar raut wajah kesedihan dan kekecewaan dari muka Gadek.

“Gadek..” ayah Gadek bermula. “Kalau Gadek tak dapat panah anak bulan tu sampai bila-bila pun, ayah masih tetap berbangga dengan Gadek,” kata ayah Gadek lagi.

“Kenapa?” soal Gadek kehairanan.

“Ayah bangga dengan semangat dan ketekunan yang Gadek tunjukkan. Ayah suka tengok Gadek tak cepat mengalah dan putus-asa,” katanya tersenyum lagi.

“alah… Gadek dah dekat nak putus-asa dah ni pun. Tak bersemangat lagi dah nak cuba,” balas Gadek lemah.

“Kenapa nak putus-asa?” tanya ayah Gadek.

“Ye la, dah berbulan-bulan Gadek cuba, sampai sekarang tak kena pun apa yang Gadek panah,” jawab Gadek lagi.

“mmm… Gadek ingat tak apa yang ayah suruh buat untuk menentukan yang Gadek dah dewasa?” tanya ayah Gadek.
“Ingat,” jawab Gadek. “Panah buah kelapa tu sampai jatuh kan?” soal Gadek lagi sambil memerhatikan buah kelapa yang sebiji itu.

“Betul,” jawab ayah Gadek. “Cuba Gadek panah buah kelapa tu sekarang,” sambung ayah Gadek.

Gadek dengan wajah yang masih kecewa, bangun perlahan-lahan seolah-olah sudah malas untuk memikirkan hal-hal memanah ini. Dia perlahan-lahan menujukan panahnya kearah buah kelapa itu dan memanahnya hanya dengan separuh hati.

“Tubbbbbbb!………..dummmm!” kedengaran bunyi sebiji buah kelapa dipanah dan kemudian jatuh ke tanah.

Mata Gadek terbeliak seolah tidak percaya yang buah kelapa itu sudah jatuh. Malah, dia bertambah terkejut apabila melihat anak panahnya telah menembusi keseluruhan buah kelapa tersebut hingga buah kelapa itu hampir terbelah dua.

“Ayah! Tengok ni!” jerit Gadek keriangan. Ayah Gadek turut tertawa riang. Gadek melompat-lompat kesukaan. Lagaknya tak ubah seperti monyet yang termakan cili. Ayah Gadek kemudian mengangkat kelapa itu sambil memandang kearah Gadek.

“Gadek, cuba faham apa yang cuba ayah sampaikan kepada Gadek ni. Kalau kita mempunyai sasaran yang hendak dicapai, usaha kita mestilah lebih tinggi daripada sasaran kita itu.

Jika Gadek hendak memanah buah kelapa ini, usaha Gadek mestilah seolah-olah hendak memanah bulan. Gadek mungkin tidak dapat memanah bulan itu, tetapi akhirnya Gadek dapat memanah buah kelapa ini dengan begitu mudah,” terang ayah Gadek.

Gadek terharu mendengar penjelasan ayahnya. Dia tidak sangka begitu bijak cara ayahnya mendidiknya. Gadek bukan sahaja telah menjadi kuat untuk memanah, malah dia menjadi handal dan cekap memanah dengan tepat tanpa dia sedari. Sungguh hebat pengajaran ini baginya.

“Satu lagi yang ayah kena suruh Gadek buat,” kata ayah Gadek tiba-tiba.

“Haa… ada lagi…?” soal Gadek terkejut sambil berdebar memikirkan apakah yang perlu dilakukannya lagi untuk menjadi orang dewasa.

“Esok, siapkan semua alatan perburuan, kita nak pergi memburu kijang di kaki gunung…” kata ayah Gadek sambil tersenyum.

“Memburu? Kita? Kaki gunung? Yeeeeaaaahhhhhhh!” jerit Gadek kegembiraan.

Berjalanlah dua beranak itu menuju ke rumah dengan penuh kegembiraan.

Osman Affan

Penulis cerita,

Osman Affan

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: