Kalimah terakhir

Sepanjang hidup saya, telah banyak ragam manusia yang dapat dilihat. Ada yang periang, ada yang sentiasa bermuram dan ada yang sentiasa berkata-kata. Saya sentiasa tertarik mendengar cara kawan-kawan berkomunikasi di antara satu sama lain. Ada yang bercakap dengan lemah lembut, ada yang bercakap dengan kasar,ada yang bercakap dengan bahasa yang indah, malah ada yang bercakap dengan bahasa yang kurang sopan.Apabila membicarakan tentang penggunaan bahasa atau perkataan dalam perbualan, saya teringat kata-kata seorang ustaz bernama Muhammad Nor ketika saya berada di tingkatan satu di sebuah sekolah di Terengganu. Kata ustaz Muhammad Nor, “Kalau sebuah lori yang membawa oren terbalik di tengah jalan, apakah yang akan keluar dan bertaburan di atas jalan raya? Tentulah oren bukan?”

Ustaz terus menerangkan lagi bahawa perumpamaan itu sama juga dengan kehidupan kita. Apa sahaja yang kita isi di dalam diri sepanjang kehidupan kita akan terkeluar semula dan nampak jelas sewaktu kita hendak mati nanti. Apa yang penting dapat saya faham daripada kata-kata ini ialah, jika kita sentiasa menuturkan perkataan yang tidak sopan, atau dengan lebih tepat lagi mencarut dan mencaci, perkataan-perkataan itu jugalah yang akan keluar bila kita hendak mati nanti.

Sebagai contoh, jika kita sentiasa menuturkan perkataan “ayam” setiap kali kita marah, terkejut, kecewa atau kita memang gemar menyebut perkataan itu walaupun tanpa sebab, bukankah besar kemungkinannya kita akan menuturkan perkataan itu juga di akhir hayat kita nanti? Apakah kemungkinan kita melafazkan kalimah shahadah pula? Bagaimanakah perasaan anda jika “ayam” yang anda sebutkan buat kali terakhir dalam kehidupan anda, dan bukannya kalimah shahadah?

Saya terkilan melihat kawan-kawan atau anak muda di bangku sekolah sudah petah melafazkan perkataan-perkataan yang saya sendiri malu hendak menyebutnya. Lebih menyedihkan apabila mendengar perkataan tersebut dilafazkan oleh pelajar yang berumur tujuh hingga sepuluh tahun di sekolah rendah.

Sebagai umat Islam dan rakyat Malaysia yang terkenal dengan kesopanan dan tatasusila yang baik, inikah generasi yang akan dihasilkan di masa akan datang? Sama-samalah kita fikirkan.

osman affan

2 Responses to Kalimah terakhir

  1. remyjo berkata:

    Ya betul tu, apa yang selalu kita lakukan akan menjadi kebiasaan dan sebati dengan diri. Oleh itu buat sesuatu yang baik agar output nya akan baik jua.

  2. Osman Affan berkata:

    Hmmm.. saya percaya cara kita bercakap bermula daripada rumah, sebab tu penting ibu bapa juga bercakap dengan bahasa yang baik. Kanak-kanak belajar dengan cara meniru, buruk yang disebut oleh ibu bapa, buruk juga disebut oleh anak-anak. Sama juga dengan guru. Saya biasa mendengar guru menyebut perkataan yang kasar dan tidak baik di depan murid, tetapi mendenda murid jika mereka bercakap begitu. Berkesan tak agaknya? 🙂

Tinggalkan komen